GEGAR YOP!!-gemarak’s gathering with youth in perak
Bismillah
22 Ogos 2010-Bertempat di Hotel HillCity, Ipoh, telah berlansungnya sebuah lagi acara tahunan yang dianjurkan oleh GEMARAK iaitu GEGAR YOP(Gemarak’s Gathering with Youth in Perak). Seperti tahun-tahun sudah, aktiviti yang dianjurkan GEMARAK ini mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Pejabat Agama Islam Perak(JAIPk). Sedikit berbeza dengan tahun sudah, GEGAR YOP kali ini bermula lebih awal iaitu sekitar jam 2.15 petang dan tamat sebaik sahaja selesai solat maghrib.
Program yang diketuai oleh Saudari Erma Farida(University of Warwick) ini juga dibantu oleh anak-anak Perak yang pulang bercuti di Malaysia sepanjang cuti musim panas. Program GEGAR YOP tahun ni menunjukkan penyertaan yang positif dari anak-anak perak yang akan ke luar negara sehingga mencecah hampir 2o orang. Program ini juga bukan sekadar perhimpunan anak Perak semata-mata, malah digunakan sebaik mungkin sebagai medan perkongsian antara ahli GEMARAK bersama adik-adik yang akan terbang tidak lama lagi.
Program dimulakan dengan pengenalan ringkas diantara pelajar sementara menunggu ketibaan tetamu khas di dewan tersebut. Majlis kemudian dirasmikan oleh wakil daripada Jabatan Agama Islam Perak iaitu Ustaz Fadhli Baharum yang juga sempat memberi sedikit ucapan di Majlis tersebut. Di kesempatan itu juga, Ustaz Fadhli Baharum dijemput menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada para peserta yang hadir ke GEGAR YOP untuk tahun 2010 ini. Majlis seterusnya berehat seketika dan disambung dengan aktiviti dalam kumpulan.

Untuk slot ini, semua peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk bersama fasilitator masing-masing. Slot ini juga yang seakan-akan kursus pre-departure, memberi peluang kepada para peserta untuk bertanyakan soalan tentang kehidupan yang bakal mereka tempuhi di luar negara. Berbeza dengan mana-mana kursus pre-departure, slot di GEGAR YOP kali ini memberi peluang kepada ibu-bapa untuk turut serta dalam perbincangan dan menanyakan apa jua soalan mengenai anak-anak mereka yang akan ke luar negara. Begitu banyak soalan yang ditanyakan kepada fasilitator, tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar masalah, terutamanya mengenai barang-barang yang perlu mereka muatkan dalam beg masing-masing nanti.
Slot 1 jam 30 minit ini akhirnya ditamatkan bagi memberi laluan kepada semua hadirin yang hadir, untuk menunaikan solat asar.



Selepas solat asar, para peserta dihidangkan dengan tayangan video mengenai program-program yang akan berlansung di United Kingdom dan juga Ireland sepanjang cuti musim sejuk nanti. Tayangan video yang memakan masa sekitar 10 minit itu disambung pula dengan sebuah Forum GEGAR YOP yang bertajuk “Bukan Sekadar Ijazah”. Forum GEGAR YOP ini menampilkan dua orang ahli Panel yang merupakan bekas pelajar perubatan di UK dan Ireland. Kak Ayuni dan juga Kak Balqis, yang kini sudahpun tamat pengajian di sana berkongsi sedikit sebanyak pengalaman ketika berada di sana.
Ternyata nasihat dan pengalaman yang dikongsikan oleh kedua-dua ahli panel ini sangat berguna untuk diadaptasikan oleh adik-adik yang bakal terbang tidak lama lagi. Pengalaman 5 tahun berada di bumi UK dan Ireland sememangnya menjadikan FORUM ini cukup mantap dan sarat dengan input berharga, InshaAllah.

GEGAR YOP tidak berhenti di situ sahaja. Kali ini, tetamu yang hadir mendengar sedikit tazkirah daripada Ustaz Hafez Sobri yang memakan masa lebih kurang 30 minit. Sekali lagi, begitu banyak perkara yang boleh dihadam oleh para peserta bagi memastikan kehidupan sebagai seorang muslim tidak tercalar di sana nanti. Jam 7.00 petang, semua hadirin bergerak ke dewan makan Hotel HillCity untuk berbuka puasa. Ternyata, begitu banyak aneka juadah yang disediakan untuk ibu-bapa dan peserta yang hadir pada malam itu.
Sebaik sahaja tamatnya majlis berbuka puasa tersebut, para peserta pulang semula ke destinasi masing-masing di sekitar Perak. Dengan ini, berakhirlah GEGAR YOP untuk anak perak tahun 2010 kali ini. Program terakhir anjuran GEMARAK ini juga menandakan tamatnya program-program Generasi Ilmuan Perak UK-Ireland untuk cuti musim panas tahun ini.

Setingi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu dan para peserta yang sudi hadir memeriahkan GEGAR YOP 2010 di Ipoh ini. Tidak lupa juga kepada barisan fasilitator yang sudi hadir berkongsi pengalaman dan nasihat sepanjang program ini berlansung. Kepada individu-individu yang tidak jemu menghulurkan bantuan bagi menjayakan GEGAR YOP kali ini juga, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa anda semua.
Semoga penganjuran program seperti ini membantu memudahkan urusan para pelajar apabila terbang ke luar negara nanti. Kami, pihak penganjur GEGAR YOP 2010 memohon ribuan ampun dan maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam program GEGAR YOP ini. Akhir kata, terima kasih dan Assalamualaikum.

Pelbagai aktiviti sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara telah dirangka bagi sesi 2009 ini. Ini termasuklah program bersama pelajar-pelajar dari sekolah luar bandar, iaitu SMK Sayong, Kuala Kangsar.


