Home > Activities > GEMARAK Rai Pelajar Ke UK-Ireland

GEMARAK Rai Pelajar Ke UK-Ireland

September 8th, 2009 admin Leave a comment Go to comments

Oleh: Wan Nur Iwani

Photobucket

Medan Gopeng, Ipoh - Alhamdulillah, program yang sekian lama dirancang, akhirnya berjaya dilaksanakan. Satu Majlis Penghargaan & Berbuka Puasa Meraikan Anak-Anak Perak Ke UK-Ireland yang berlangsung pada 6 September 2009 yang lalu telah dianjurkan oleh Generasi Ilmuan Perak UK & Ireland (GEMARAK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Program yang dipimpin oleh Saudari Pengarah, Nurhanis Syazni Roslan bersama rakan-rakannya itu telah diadakan di sebuah Hotel terkemuka di bandar Ipoh, Hotel Hill-City. Program tersebut telah dijayakan dengan kehadiran seramai 14 orang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke UK & Ireland, bersama-sama para pelajar yang sedang menuntut di UK & Ireland. Para pelajar yang diraikan ini ada yang turut ditemani oleh ahli keluarga mereka, sebagai tanda rasa kasih dan penghargaan ahli keluarga dengan kejayaan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke UK & Ireland.

Photobucket

Program yang bermula sekitar jam 5.30 petang itu dimulakan dengan Ucapan Alu-Aluan oleh Wakil Presiden GEMARAK, Saudara Amir Syafiq, Graduan Kejuruteraan Mekanikal, University Of Bristol, UK. Berbekalkan pengalaman yang masih segar sebagai pelajar di rantauan, Amir Syafiq telah menghidangkan hadirin dengan ucapannya yang penuh bertenaga, sekaligus memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan para pelajar yang akan melangkah jauh meninggalkan kampung halaman pada tahun ini.

Photobucket

Majlis ini diserikan lagi dengan Slot Jalinan Mesra yang mempertemukan adik-adik pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Luar Negara dengan para senior yang tidak lokek berkongsikan pengalaman mereka bagi membantu adik-adik membuat persiapan di saat-saat akhir sebelum ke Luar Negara. Ternyata, Slot tersebut memberikan seribu satu makna kepada mereka, kerana ianya bukan sahaja melibatkan perkongsian pengalaman, tetapi berjaya mengeratkan silaturrahim di antara mereka.

Photobucket

Tepat jam 6.30pm, Majlis diteruskan dengan ketibaan tetamu dan penceramah Jemputan, iaitu Al-Fadhil Ustaz Khairil Azhar Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Al-Fadhil Ustaz seterusnya menyampaikan amanat beliau, dan merasmikan Majlis tersebut.

Photobucket

Jelas beliau, para pelajar yang diberi peluang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti ini, seharusnya bersyukur dan menggunakan peluang sebaiknya untuk membentuk diri sebagai seorang hamba ALLAH walau di mana jua mereka berada. Memetik surah at-Taubah, 122 yang bermaksud “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Kenapa tidak pergi satu kelompok yang kecil dari tiap2 golongan yang besar di antara kamu untuk mendalami pengetahuannya tentang Ad-Deen, dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya, apabila mereka kembali kepada kaumnya, supaya kaumnya dapat menjaga diri mereka”

Photobucket

Sebelum berbuka puasa, hadirin dihidangkan terlebih dahulu dengan persembahan Video mantap, sebuah kompilasi yang menggambarkan Universiti-Universiti di UK & Ireland. Ternyata, ianya memberikan satu semangat baru kepada para pelajar yang tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki di bumi Eropah, dan pada masa yang sama, mengharapkan doa ayah dan ibu yang sudah tentu begitu berat sekali ingin melepaskan anak mereka.

Photobucket

Selepas berbuka puasa, hadirin bersama-sama menunaikan Solat Maghrib berjamaah. Selesai bersolat, Majlis diselitkan dengan sesi penyerahan Sijil dan Buah Tangan khas dari GEMARAK yang disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairil Azhar Shamsuddin.

Hadirin selepas itu juga tidak melepaskan peluang untuk bersolat Tarawih berjamaah, sebelum dihidangkan sekali lagi dengan satu Slot mantap bertajuk “Jejak Islam di Bumi Eropah”. Slot yang dibentangkan oleh Saudari Pengarah sendiri, Nurhanis Syazni itu sungguh bermakna buat tatapan adik-adik pelajar dan ibu bapa yang hadir. Pelbagai persoalan yang bermain di minda mereka selama ini sedikit terungkai hasil pembentangan ringkas dan padat tersebut.

Photobucket

Majlis tamat tepat jam 10.15pm, dan sebelum bersurai, para hadirin mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan bertukar-tukar cerita. Majlis tersebut berakhir dengan puluhan senyuman penuh ikhlas para hadirin, sekaligus menandakan satu lagi kejayaan Program anjuran GEMARAK. InsyaAllah, semoga bertemu lagi di lain hari, semoga adik-adik pelajar yang akan berangkat nanti beroleh keselamatan dan kesejahteraan di bumi asing. Wallahu a’lam.

Lagi Koleksi Gambar Majlis di SINI

Categories: Activities Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.